Isnin, 27 Jun 2016

GURU MURSYID TAREKAT NAQSHABANDI KE-2 : SALMAN AL-FARISI

  1. Sumber asal :   http://www.irfankhairi.com

Salman Al-Farisi merupakan salah seorang sahabat karib junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.  Beliau adalah seorang tokoh yang sangat menyerlah daya kepimpinannya dan amat disayangi oleh Rasulullah s.a.w. lantaran keberanian, keikhlasan serta sifat zuhudnya terhadap kemewahan dan kehidupan duniawi.

Salman Al-Farisi



Nama penuh Salman Al-Farisi ialah Mabah bin Budzkhasyan bin Mousilan bin Bahbudzan bin Fairuz bin Sahrk Al-Isfahani. Beliau berasal  daripada keluarga Zoroastrian yang begitu dihormati  dan disegani dari sebuah desa, iaitu Jayyan yang terletak berhampiran Kota Isfahan, Persia (Parsi). Bapanya adalah seorang  Dihqan (Ketua Kampung) dan juga merupakan orang terkaya yang memiliki rumah terbesar dan juga  kebun kurma yang sangat luas dan banyak hasilnya. Beliau amat disayangi oleh bapanya sehingga beliau telah ditempatkan di sebuah kuil agama Majusi sebagai  penjaga  api.

Pencarian yang panjang
Namun begitu, Salman tetap tidak merasa tenang dan aman dengan agama yang dianutinya sehingga berlaku pergolakkan jiwa  dalam dirinya, lantas mendorong beliau untuk mencari agama baru yang lebih baik dan boleh mendamaikan jiwanya. Dengan hidayah Allah SWT, beliau meneruskan pencarian dan pengembaraannya untuk mencari agama baru yang lebih baik dan menepati kehendak hatinya. Kisah perjalanan kehidupan Salman Al-Farisi untuk mendapatkan hidayah Allah SWT amatlah panjang.

Sebelum memeluk Islam, beliau asalnya adalah  seorang yang beragama Majusi, berbangsa Parsi dan kemudian memeluk agama Nasrani. Beliau sanggup pergi ke negeri  Syam dan kemudian ke Yathrib dan seterusnya ke Madinah, semata-mata untuk mencari kebenaran dalam agamanya. Sewaktu mula-mula  beliau memeluk agama Islam, beliau adalah seorang hamba, namun demikian Rasulullah s.a.w. telah menganjurkan kepada para sahabat supaya memerdekakannya.
Salman Al-Farisi sangat terkenal sebagai seorang mukmin yang kuat beribadat, bersifat rendah diri dan tiada langsung tertarik dengan kehidupan dan kemewahan duniawi. Beliau amat terkenal dengan sifat taqwa dan zuhudnya. Beliau juga merupakan seorang tokoh sahabat nabi yang banyak meriwayatkan hadis-hadis  daripada Rasulullah s.a.w. kerana beliau adalah salah seorang sahabat yang banyak bergaul dengan baginda Rasulullah  s.a.w.  sendiri.
Pernah suatu ketika juga beliau  tinggal serumah, bersama dengan Abu  Darda’ yang terkenal sebagai seorang ahli sufi, yang mempunyai kebiasaan melakukan ibadah pada waktu malam dan shaum diwaktu siang. Oleh yang demikian Salman telah melarangnya dari keterlaluan beribadah seperti itu lantas menegur Abu Darda’ dengan penuh hikmah dan lemah lembut.
“Sesungguhnya kedua matamu mempunyai hak atas dirimu, demikian pula keluargamu mempunyai hak atas dirimu, Di samping engkau shaum, berbukalah dan di samping melakukan solat tidurlah.”
Peristiwa ini  telah sampai  ke pendengaran Rasulullah s.a.w. maka baginda pun bersabda :
“Sungguh, Salman telah dipenuhi dengan ilmu.”
Sepanjang hayatnya, Salman Al-Farisi sempat menjalani kehidupan bermula daripada  zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah kepada zaman pemerintahan Saidina Uthman bin Affan, iaitu khalifah Islam yang ketiga. Baginda Rasulullah s.a.w. sering memuji-muji Salman Al-Farisi lantaran kecerdasan dan ketinggian ilmu yang dimilikinya, sebagaimana beliau memuji agama dan budi pekerti serta akhlaknya yang luhur,  ketika orang Anshar dan Muhajirin ingin mendapatkannya.
Rasulullah s.a.w. pun bersabda : “Salman adalah golongan kami, Ahlul Bait.”Demikianlah betapa kasihnya Rasulullah  s.a.w.  kepada Salman Al-Farisi.

Sara hidup dengan menganyam daun-daun kurma
Salman Al-Farisi, merupakan seorang gabenor di Al-Madain yang terletak berhampiran dengan Kota Baghdad. Selain itu beliau juga adalah seorang amir.
Meskipun beliau adalah seorang gabenor dan seorang amir yang terjamin kehidupan dan pendapatannya, namun beliau tetap berusaha gigih dan bekerja sendiri untuk menguruskan serta mengawasi kebun kurmanya bagi menyara hidup keluarganya.
Salman Al-Farisi sanggup mengambil upah meraut dan menganyam daun-daun kurma untuk dijadikan tikar, bakul dan beg sebagai sumber pendapatan beliau untuk  menyara keluarganya. Beliau membelinya dengan harga 1 dirham dan dijualnya kembali dengan harga 3 dirham. Hasil pendapatan daripada  jualannya itu telah dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu 1 dirham digunakan untuk pusingan modal, 1 dirham digunakan untuk bersedekah dan 1 dirham lagi digunakan untuk dinafkahkan kepada keluarganya. Di sini jelas menunjukkan betapa Salman Al-Farisi tidak sekali-kali menggunakan kuasa dan amanah yang dimandatkan kepadanya untuk kepentingan diri sendiri dan keluarganya. Inilah ciri-ciri seorang pemimpin dan ketua yang amat kita sanjungi yang sukar ditemui pada masa kini.
Sebagai seorang gabenor negara, sudah pastilah beliau mendapat  insentif sebanyak 5000 dirham, tetapi kesemua wang tersebut telah diinfakkannya ke jalan Allah dan tidak ada satu dirham pun yang diambilnya untuk keperluan diri. Beliau sanggup menolak untuk tidak menerima wang gajinya sebagai seorang gabenor negara. Demikianlah pengorbanan besar yang dilakukan oleh Salman Al-Farisi yang begitu zuhud serta berpegang  teguh dengan  agamanya iaitu Islam.

Sumbangan dan jasa Salman Al-Farisi.
sumbangan
Sepanjang baliau bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. beliau tidak pernah sekalipun menyertai peperangan kecuali peperangan khandak yang merupakan peperangan pertama yang telah disertai olehnya. Bermula daripada detik  itulah beliau tidak akan melepaskan peluang yang ada untuk turut serta dengan Rasulullah s.a.w. di dalam peperangan-peperangan  yang lain sebagai jihad dan perjuangannya menegakkan Islam.
Ketika  berlakunya peperangan khandak yang diketuai oleh Rasulullah s.a.w. bersama dengan tentera  Islam yang hanya berjumlah 3,000 orang, sedangkan pihak musuh pula terdiri daripada 10,000 orang maka, Salman Al-Farisi pun mencadangkan kepada Nabi agar kaum muslimin menggali parit di sekeliling Kota Madinah sebagai satu strategi  utama, untuk menewaskan musuh-musuh Islam yang pada ketika itu tentera Islam telah diancam oleh tentera Musyrikin Mekah serta kaum yahudi yang laknat. Salman Al-Farisi menyuarakan pendapatnya kepada Rasulullah s.a.w. dan dengan persetujuan Rasulullah s.a.w. maka kerja-kerja pembinaan parit tersebut telah berjaya dilakukan dan dapat disiapkan dalam tempoh enam hari sahaja.
Berkat  cadangan itu jugalah maka tentera Islam telah berjaya bertahan daripada dalam Kota Madinah.  Madinah akhirnya terselamat daripada jatuh ke tangan musuh-musuh Islam dan umat Islam telah mendapat kemenangan besar di dalam peperangan khandak. Alangkah hebatnya Salman Al-Farisi menggunakan kepakaran yang ada pada dirinya, untuk menewaskan musuh Islam dengan kejutan yang telah dilakukannya.

Tiada ulasan: