Gambar sekadar hiasan
Jika kita temui binatang yang masih hidup boleh berbicara, tentu orang akan menganggapnya satu perkara yang ajaib. Lebih menjadi ajaib jika binatang yang telah disembelih, dipanggang dan berada dalam hidangan boleh berbicara dengan kita.
Kisah ini benar-benar berlaku di zaman Rasulullah S.A.W. yang diceritakan dalam hadis, iaitu kambing yang telah disembelih dan telah dipanggang boleh berbicara lagi semasa ia dihidang kepada baginda.
Abu Hurairah r.a. berkata, sesungguhnya Rasulullah S.A.W hanya menerima hadiah dan tidak mahu makan sedekah. Lalu seorang wanita Yahudi di Khaibar menghadiahkan kepada baginda kambing panggang yang telah dimasukkan racun. Lalu Rasulullah pun memakan sebahagian dari daging kambing itu.
(Selepas diberitahu oleh kambing panggang itu bahawa ianya beracun) Rasulullah mengingatkan para sahabat : "Angkatlah tangan kamu (berhenti makan), kerana kambing panggang ini memberitahu kepada aku bahawa dia beracun"
Setelah Bisyr bin Al-Baro' bin Ma'rur Al-Anshory (yang telah termakan bahagian beracun itu) didapati meninggal dunia ( sekembalinya ke rumah). Maka Rasulullah mengirim utusan membawa surat kepada wanita Yahudi itu dengan pertanyaan, "Apakah yang mendorong kamu melakukan hal itu (membubuh racun)? Wanita itu menjawab, "Jika engkau adalah seorang nabi, maka apa yang akan ku lakukan tidak akan membahayakan diri mu. Jika engkau adalah seorang raja, maka aku telah melepaskan manusia dari mu".
Kemudian Rasulullah S.A.W memerintahkan untuk membunuh wanita itu, maka wanita itu pun dibunuh. (Riwayat Abu Daud dalam sunan-Nya [4512]. Disahihkan oleh Al-Albaniy dalam sahih sunan Abu Daud [halaman 813], dengan tahqiq Masyhur Hasan Salman).
Pengajaran daripada kisah ini :
Bagi kita yang sudah 14 tahun sebagai pengamal tasawuf ini, sangat jelas bahawa daripada kisah kambing tersebut adalah sebenarnya bukanlah kambing itu yang bersuara, tetapi ianya merupakan siqnal muroqabah atau tingkatan kasyaf yang disebut juga sebagai ilmu laduni atau ilmu makrifat kepada Allah SWT.
--------------
"Lisan manusia yang berakal ada di belakang hatinya ketika ingin berbicara, dia merujuk hatinya. Jikalau baik dia berbicara, jikalau bahaya dia menahan diri. Hati orang yang bodoh berada di belakang lisannya. Dia berbicara apa yang dilihatnya."
(Petikan ayat daripada Imam Al-Ghazali, seorang tokoh ulama fiqah dan tasawuf, di dalam bukunya iaitu Ihya' Ulumuddin)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan