Di dalam kajian sains, pengkhususan di dalam hukum mekanik kuantum ada membincangkan tentang kejadian cahaya. Bagi kita pengamal ilmu tasawuf dengan method pelaksanaannya yang dikenali sebagai tarekat (sufi), ianya sangat berkait rapat dan tidak keterlaluan kalau dikatakan ianya adalah perkara ilmiah yang 80% hampir sama. Penggunaan istilah mekanik kuantum hanya memperlihatkan ianya tampak lebih moden, gah bergaya dan lebih digemari oleh saintis barat.
Penemuan teori relatif, halaju cahaya yang telah dipopularkan oleh saintis terkenal dunia iaitu Albert Einstein, beliau telah menampilkan formula yang tampak lebih gah dan profesional di zaman moden iaitu, E = mc*2. (Tenaga = jisim x halaju cahaya x halaju cahaya)
Jika di Malaysia, formula ini telah diperkenalkan dalam subjek fizik, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ya, saya sendiri pernah berasa teruja dengan formula ini sewaktu menuntut di Sekolah Menengah Teknik Cheras, Kuala Lumpur pada sesi tahun 2001-2002 yang silam.
Di dalam Al-Quran, Surah An-Nur - Ayat 35 yang bermaksud,
"Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi"
Menurut Al-Quran, matahari sebenarnya membakar dan mengeluarkan cahaya, sedangkan bulan hanya menerima cahaya dan memantulkan cahaya tersebut sehingga kita seakan-akan melihat bulan yang mengeluarkan cahayanya sendiri di waktu malam.
Perkara ini selari dengan penemuan kajian saintis barat, bahawa matahari sebenarnya adalah bintang sedangkan bulan adalah ibarat satelit.
Apa yang menarik dan harus menjadi renungan bersama, di dalam Surah Sad : Ayat 71-72 yang bermaksud :
Ingatlah ketika Tuhan mu berfirman kepada malaikat :
"Aku akan menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila telah Aku sempurnakan kejadiannya, dan Ku tiupkan ke dalamnya dari roh-Ku, maka tunduklah kamu kepadanya (dengan cara) bersujud"
Untuk kepastian, sila download terjemahan Al-Quran dalam aplikasi Google Play masing-masing.
Ramai orang cerdik yang belajar ilmu sains tahu, semua tumbuhan memerlukan cahaya matahari untuk melakukan proses fotosintesis bagi menghasilkan oksigen untuk manusia bernafas. Sekaligus cahaya matahari juga dapat menyebabkan pokok dapat terus hidup dan dijadikan sebahagian daripada rantai makanan manusia untuk kelangsungan ekosistem makhluk di bumi agar berpanjangan.
Begitu juga dengan roh manusia, sudah pasti ianya memerlukan cahaya Tuhan agar manusia dapat berhubungan dengan Allah SWT di dunia secara langsung.
Ianya telah dijelaskan dalam hadis nabi riwayat Abu Daud,
"Jadikanlah diri mu (rohani mu) beserta dengan Allah. Jika belum boleh, jadikanlah diri mu beserta dengan orang yang (rohaninya) telah beserta dengan Allah. Maka (rohani) orang itulah yang akan menghubungkan engkau kepada Allah".
Diperkuatkan hujah lagi tentang maksud perkataan Wasilah yang telah direkodkan di dalam kitab Al-Quran,
Al-Maidah, Ayat 35 :
Perkataan "Wasilah" ini ada disebutkan di dalam doa selepas azan yang membawa maksud pangkat rohani salah seorang daripada Kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad SAW,
Bagi murid-murid sufi yang sudah mencapai level makrifat (mengenal dan berhubungan dengan Allah), mereka sangat faham dan sangat jelas tentang perkara ini. Disinilah tidak ada dinding yang membatasi antara manusia dan Allah SWT. Sudah pastilah tahap ketajaman kasyaf bagi setiap ahli sufi bergantung kepada level kerohanian masing-masing.
Dalam bahasa mudah untuk difahami, kasyaf itu adalah "sixth sense" atau deria ke-6 yang terbit dalam diri manusia.
"Sixth sense" adalah bahasa yang sudah tentu tampak lebih moden dan terkini dalam ilmu mekanik kuantum yang berkait rapat dengan kelajuan cahaya. Ianya bermaksud rohani seseorang manusia (ianya bersifat ghaib) dapat merentas ruang masa, dengan cara itu manusia dapat mengetahui samada tentang rahsia dirinya, orang lain, haiwan atau apa saja (masa silam, semasa atau masa depan).
Ianya bukan hanya boleh berlaku kepada Guru atau seorang individu, malah kepada semua murid sufi yang telah mencapai level pelajaran tertentu.
Halaju Cahaya
Di dalam teori relatif halaju cahaya yang dikemukan pada perenggan kedua diatas, ada dua perkara yang menarik untuk dikaitkan dengan peristiwa yang telah dicatatkan dalam Al-Quran, iaitu pemindahan sekelip-mata singgahsana istana Ratu Balqis dari kerajaan Sabak ke istana Nabi Sulaiman serta peristiwa agung, Israk dan Mikraj yang telah berlaku kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w.
Bagi kaum sufi yang telah mengkaji dengan mendalam tentang ilmu ketuhanan, kedua-dua peristiwa bersejarah tersebut, kita dapat membuat kesimpulan bahawa hukum mekanik kuantum hanyalah sebahagian daripada ilmu kasyaf atau sesetengah orang memanggilnya ilmu laduni. Ilmu kasyaf ini telah diolah oleh para saintis barat dengan menggunakan istilah mekanik kuantum.
Jadi disini, kita telah dapat membuat satu kesimpulan bahawa sebenarnya saintis di eropah dan amerika masih belum lengkap menyelesaikan kajian dan pencarian mereka tentang keberadaan Allah s.w.t. yang hakiki sifatnya.
Semoga ayat Al-Quran ini menjadi panduan dan renungan yang mendalam untuk kita bersama.
Allah SWT berfirman:
اِتَّخَذُوْۤا اَيْمَا نَهُمْ جُنَّةً فَصَدُّوْا عَنْ سَبِيْلِ اللّٰهِ ۗ اِنَّهُمْ سَآءَ مَا كَا نُوْا يَعْمَلُوْنَ
ittakhozuuu aimaanahum junnatan fa shodduu 'an sabiilillaah, innahum saaa`a maa kaanuu ya'maluun
"Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan."
(QS. Al-Munafiqun 63: Ayat 2)
Kita yang mana?
Sebagai penutup artikel ini, kami ingin menampilkan ayat Al-Quran yang sering digunakan ketika selesai amalan zikirullah khusus orang-orang sufi,
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
يٰۤاَ يَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ۖ
yaaa ayyatuhan-nafsul-muthma`innah
"(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -"
(QS. Al-Fajr 89: Ayat 27)
ارْجِعِيْۤ اِلٰى رَبِّكِ رَا ضِيَةً مَّرْضِيَّةً ۚ
irji'iii ilaa robbiki roodhiyatam mardhiyyah
"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -"
(QS. Al-Fajr 89: Ayat 28)
فَا دْخُلِيْ فِيْ عِبٰدِى ۙ
fadkhulii fii 'ibaadii
"Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia -"
(QS. Al-Fajr 89: Ayat 29)
وَا دْخُلِيْ جَنَّتِى
wadkhulii jannatii
"Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! "
(QS. Al-Fajr 89: Ayat 30)
Dengan perasaan rendah hati, semoga artikel ini menjadi rujukan bagi ilmuan muda khususnya sahabat-sahabat kami di Instagram, Twitter, TikTok dan Bigo Live agar membangunkan PUSAT PENGAJIAN TASAWUF yang berpaksikan method tarekat (kesufian) di sebuah lokasi terpilih di dalam parlimen Wangsa Maju.
Yang Benar,
Mursyid Muda (Guru Sufi),
Ahli Salasilah Guru Mursyid ke-37,
Tarekat Naqshabandi Tareef Abidin.
Sumber : Youtube
Tiada ulasan:
Catat Ulasan