Sabtu, 31 Oktober 2009

Makrifat lebih nikmat daripada SYURGA .......


Oleh : sufi muda 

Kecintaanku kepada Allah, bukan sebab takut akan siksa-Nya, atau kerana ingin syurga-Nya, akan tetapi kerana rindu dendam merasakan kelazatan cinta-Nya. Juga kerana Allah adalah yang paling berhak dicintai. Itulah idealnya dalam bercinta, yang tidak dikenal oleh selain mereka yang menjadi pilihan Allah.


Nikmat terbesar yang ku harap-harapkan hanyalah redho dan berjumpa dengan Dia. Sementara siksa yang paling aku takuti adalah jauhnya dari memperbincangkan soal keindahan kedamaian-Nya, juga dari tempat berkomunikasi dengan-Nya. Terhalang dari sinar Dzat yang Maha Mulia.


Sebagaimana yang kita ketahui bahawa maqam tertinggi yang boleh dicapai oleh pengamal ilmu zahir (syariat) adalah wukuf dipadang Arafah, menunggu terbukanya pintu rahmat dan karunia Allah SWT dan pada hakikatnya adalah menunggu kehadiran Allah. Apakah selamanya kita harus menunggu, dan apakah menunggu itu hanya di Padang Arafah?


Seluruh amalan ritual Haji sebagaimana ibadah lain tentu saja mempunyai aspek zahir dan batin. Pada hakikatnya orang yang melaksanakan haji adalah memenuhi panggilan Allah, menjadi manusia mulia sebagai tetamu Allah dan tentu saja sebenarnya setiap muslim yang menunaikan ibadah haji sudah pasti berjumpa dengan yang punya rumah, jumpa dengan yang mengundang iaitu Allah SWT.


Dalam ilmu zahir (syariat), Ihsan merupakan puncak pencapaian spiritual dan tidak ada lagi maqam setelah itu. “Solatlah kamu seolah-olah kamu melihat Allah dan jika kamu tidak melihat Allah yakinlah Allah akan melihat kamu” inilah dasar dari Ihsan. Menurut kaum sufi tentu saja maqam ini masih spekualitif, masih seolah-olah  tidak ada kepastian disana. Siapapun yang hanya mendalami pada syariat sahaja tidak akan boleh melanjutkan perjalanan ke maqam berikut yaitu Makrifatullah, berpandang-pandangan dengan Allah dan inilah kenikmatan puncak dari para penempuh jalan spiritual melebihi apapun, bahkan kenikmatannya melebihi syurga.


Abu Yazid al-Bisthami ketika berada dalam puncak kegembiraan, dia berbisik, “Apakah itu syurga? Syurga hanyalah mainan dan kesukaan anak-anak. Aku hanya mencari Dzat Allah. Bagiku syurga bukanlah kenikmatan yang sejati. Dzatnya menjadi sumber kebahagiaanku, ketenteraman yang menjadi tujuanku.”


Mengenai ucapan Abu Yazid yang agung ini, Ibnu Arabi pernah ditanya seseorang. Jawabnya, “Tidak ada masalah. Rasulullah pernah berkata dalam doanya, “Wahai Tuhan kami…! Aku mohon kepada-Mu kenikmatan melihat DzatMu. Aku rindu ingin bertemu dengan-Mu”.


Setiap hamba yang ingin berjumpa dengan Allah terlebih dahulu dikirimkan rasa rindu dan cinta membara dihatinya, dengan itulah dia mampu bermujahadah melawan hawa nafsu dan berbagai rintangan untuk sampai kepada tujuannya iaitu menemukan cinta sejati dan berjumpa dengan yang dicintainya.


Konon An-Nuri bertanya kepada Rabi’ah al-Adawiyah, katanya, “Setiap hamba mempunyai syarat. Setiap iman mempunyai hakikat, apakah hakikat iman anda?” Rabi’ah menjawab, “Saya menyembah Allah bukan kerana takutkan Dia. Kerana dengan persepsi demikian, aku seperti hamba hina yang bekerja hanya kerana takut. Tidak pula kerana inginkan syurga, agar tidak seperti hamba hina yang diupah. Akan tetapi aku menyembah-Nya kerana cinta dan rindu kepada-Nya.”


Sa’id bin Yazid berkata: “Barang siapa beramal kerana Allah atas dasar cinta kepada-Nya, itu lebih mulia daripada beramal atas dasar ketakutan.” Selanjutnya dia berkata, “Andaikan diberikan kepadaku doa yang mustajab, aku tidak akan minta syurga Firdaus, akan tetapi aku hanya akan memohon redho-Nya.” Katanya pula,”Lupa kepada Allah itu lebih menyeksakan daripada masuk neraka”


Kalau memang memandang wajah Allah itu merupakan nikmat yang melebihi syurga, kenapa kita tidak berusaha mencari jalan untuk boleh memandang wajah-Nya? Para Nabi dan orang-orang sufi mengatakan bahawa memandang wajah Allah itu boleh di dunia dan tentu boleh juga di akhirat, kalau memang boleh melihat-Nya di dunia ini kenapa kita harus menunggu sampai datang kiamat? Bukankah kalau wajah-Nya boleh dilihat di dunia sudah pasti di akhirat juga wajah itu tidak berubah dan sudah pasti boleh dilihat juga, kalau di dunia tidak boleh melihat Allah, di akhirat ??!

Ahad, 4 Oktober 2009

mereka dengan TUHANnya

mereka…


kulihat mereka…
mereka menangis dalam solatnya…
mereka menangis dalam doanya…
mereka menangis dalam zikirnya..
mereka tahu siapa dirinya
ketika mereka tahu siapa Tuhannya
ketika mereka tunduk menjatuhkan kening mereka
serata lantai dengan telapak kakinya
sujud tubuhnya
sujud hatinya
sujud jiwanya
sujud ke-aku-annya
mereka tahu kerendahannya
mereka tahu kekecilannya
mereka tahu kekerdilannya
mereka tahu kehinaanya

mereka tahu ketiadaan dirinnya
mereka menyebut-nyebut nama Tuhannya
Tuhannya berkata.
Aku yang punya nama

Aku datang
Ketika Tuhannya hadir
Dengan kebesaranNya
betapa takutnya mereka

Ancaman Tuhannya
Siksa Tuhannya
Azab Tuhannya
Neraka Tuhannya

betapa gembiranya mereka
nikmat Tuhannya
karunia Tuhannya
rahmat Tuhannya

Syurga Tuhannya
betapa cintanya mereka
ketika mereka tahu
Tuhannya mengasihi mereka

Tuhannya menyayangi mereka
Tuhannya mencintai mereka
Maka
Nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?
Wahai jiwa yang tenang
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan ridho dan diridhoi
Maka masuklah dalam golongan hamba-hambaKu
Dan masuklah ke dalam syurgaKu


sebutir debu..